Thursday, February 26, 2009

Setiap Amalan Ada Balasannya

Kalamullah
``Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).'' (Al-Zalzalah : 7).

Huraian:
Manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah s.w.t. yang mempunyai akal fikiran. Mereka mampu menentukan dan membezakan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk dan sama ada ia menjadi suruhan atau larangan-Nya.

Oleh sebab itu, manusia bukanlah dicipta dengan sia-sia ataupun tanpa matlamat dan tujuan. Bahkan mereka dijadikan untuk beribadah kepada Penciptanya yang merupakan tujuan utama kehidupan ini.

Manusia perlu bijak menyesuaikan aktiviti dan amalannya dengan tujuan hidup yang jelas bersesuaian dengan fitrah dan kehendak Tuhan. Ini kerana segala perbuatan mereka itu akan dinilai dan dibalas sama ada dosa atau pahala, walaupun kebaikan dan kejahatan yang mereka lakukan hanyalah sebesar zarrah atau sebesar biji sawi sekalipun.

Sedangkan sekecil-kecil perbuatan pun mendapat balasan, apatah lagi jika ia melakukan sebesar-besar perbuatan. Sudah tentu syurga atau neraka adalah tempat yang sesuai bagi mereka. Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka alpa dan hanya mengejar kehidupan duniawi sahaja sedangkan balasan akhirat adalah lebih indah dan kekal abadi.

Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa ayat 134 yang bermaksud: ``Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat.''

Dosa dan pahala ialah balasan mereka yang melakukan sesuatu untuk memenuhi matlamat ibadah atau sebaliknya dalam bentuk zahir dan batin, gerak anggota atau gerak hati.

Persoalan balasan baik dan buruk ini ditimbulkan semata-mata mahu mendidik umat Islam supaya melakukan sesuatu yang tidak bercanggah dengan kehendak agama, seterusnya dapat menjamin kebahagiaan hidup masyarakat seluruhnya dengan undang-undang dan peraturan Ilahi.

Kesimpulan:
Kita sebagai manusia yang diberi akal fikiran yang waras hendaklah melakukan suruhan-Nya dengan penuh keimanan dan keikhlasan serta meninggalkan segala larangan-Nya. Ingatlah bahawa setiap perbuatan manusia sama ada besar ataupun kecil perbuatan itu tetap mendapat balasan daripada Allah s.w.t.

Justeru itu, manusia perlulah memenuhi tiga perkara utama iaitu keimanan, amalan soleh dan keikhlasan kepada Allah s.w.t. bagi memastikan matlamat utama kehidupan mereka dapat dicapai.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

No comments: