Friday, January 23, 2009

Kasih sayang dan cinta ada dimana-mana. Sejak dahulu, kini dan selamanya…… kasih sayang tetap ada. Kita, makhluk bernama manusia ini memang diciptakan, memang dilahirkan atas dasar cinta. Kita membesar dengan belaian penuh kasih sayang orang-orang tercinta. Bila telah dewasa kita belajar tentang kasih sayang dan cinta juga. Tentang betapa besar, betapa luasnya pengertian kasih sayang dan cinta itu. Kita mungkin tak mampu untuk menafsir keseluruhan erti kasih sayang dan cinta itu sampai bila-bila pun, kerana ia terlalu besar maknanya.

Ada waktu-waktunya, kasih sayang dan cinta itu memang sukar untuk dimengerti. Kasih sayang dan cinta itu ada dalam diri setiap daripada kita, namun kadang kala kita biarkan saja ia begitu. Kadang kala kita langsung tak menghargainya. Ada waktu pula kita bingung kerananya. Malah, tak kurang ada yang menganggap kasih sayang dan cinta itu tak berharga.

Di atas kasih sayang dan cinta lahirlah bahagia. Ada yang mengatakan kerana kasih sayang dan cinta jugalah yang melahirkan derita. Bagaimanapun sebenarnya kasih sayang dan cinta itu adalah suci. Jika ada diantara kita merasakan ia membawa derita, fikirlah kembali, fikirlah berkali-kali……renungkan jauh ke dasar hati, muhasabahlah diri. Apa-apapun keburukan dan kekurangan itu adalah sesuatu yang menjadi milik kita sebagai makhluk tidak perfect!

Bahagia itu satu anugerah, namun juga merupakan satu dugaan. Seperti derita, ia juga ‘diberikan’ kepada kita kerana sebab-sebab tertentu. Mahu beri kita petunjuk agar lebih insaf. Mahu kita berfikir bahawa kehidupan didunia ini bukan semata-mata untuk kecapi bahagia sepanjang masa secara percuma. Mahu kita buka mata dan minda bahawa siapalah kita ini tanpa kasih sayang dan cinta Pencipta yang Maha Agung itu.

Pernahkah diantara kita berfikir betapa ‘cacatnya’ sebuah kehidupan tanpa cinta. Pernakah terbayang di mata kita bagaimana kosong, sunyi dan kontangnya jiwa tanpa cinta. Belajarlah tentang kasih sayang dan cinta. Carilah apa yang tersurat di sebaliknya, kerana disitulah terbentang sebuah kehidupan.
Kita sering bicara tentang kasih sayang dan cinta, tapi tak pernah ada huraian apa itu kasih sayang dan cinta. Kita sebenarnya mencari kasih sayang dan cinta yang bagaimana di sepanjang perjalanan kehidupan singkat di alam fana ini??? Sebenarnya, kita tak tahu apa-apa!!!!

Terlalu sedikit yang kita tahu tentang kasih sayang dan cinta. Apapun, kasihilah diri sendiri, sayangilah diri sendiri dan cintailah diri sendiri…..kemudian, belajarlah mengasihi orang lain, belajarlah menyayangi orang lain dan menyintai orang lain. Kerana kasih sayang dan cinta tak ada maknanya jika kita tak menghidupkannya dalam diri kita lalu menebarkannya untuk orang lain juga.

Tak ada sesiapa yang sempurna, makanya kita perlukan orang lain dalam hidup kita. Mengapa??? Kerana untuk melengkapkan salah satu kekurangan dalam diri kita, kita perlukan orang lain. Dalam masa yang sama kekurangan orang lain juga akan lengkap dengan kehadiran kita disisinya. Dengan kasih sayang dan cinta itu, sentiasalah berusaha untuk mencari sesuatu yang paling baik untuk diri sendiri, agar kita menjadi yang terbaik……

No comments: