Tuesday, December 30, 2008

Luka Di Tangan Berdarah Merah, Luka Di Hati Siapa Yang Tahu

Sebuah perumpamaan yang seringkali kita baca dan kita dengar. Kelukaan di hati adalah bukan satu perkara yang senang untuk diubati. Jika luka di tangan kita boleh nampak, kita boleh jumpa doktor untuk dapatkan rawatan, boleh makan ubat dan boleh sapu krim untuk menghilangkan parutnya. Tapi luka di hati…tak ada siapa yang tahu biar sepedih mana sekali pun..namun ianya tersimpul mati dihati kita. Kita yang merasakan pedihnya, kitalah juga yang merasakan peritnya. Namun ianya tidak akan terzahir dengan kata-kata.

Kelukaan yang lahir bersama kekecewaan hanya akan dapat dizahirkan oleh airmata kerana airmata adalah teman setia dan airmata jugalah yang dapat melegakan segala kelukaan walaupun untuk seketika. Namun parut yang tertinggal akibat kelukaan akan kekal. Parut ini seolah-olah bertujuan melindungi kita daripada dilukai lagi. Hati kita akan menjadi keras dan kebal terhadap orang yang pernah melukai hati kita.

Emosi yang luka kadangkala boleh menjadi parah. Tiada siapa pun dapat menembusinya kecuali diri sendiri. Begitulah hebatnya peranan emosi terhadap diri seseorang. Sesiapa yang membiarkan emosi luka terus mengawal maka dia bukan sahaja memisahkan dirinya daripada orang lain bahkan daripada dirinya yang sebenar.

Jadi, nak buang parut emosi luka yang lama, kita sendiri yang perlu melakukan ” pembedahan ” untuk membaikpulihkannya. Kita perlu jadi pakar bedah sendiri untuk menyembuhkannya supaya pembedahan tersebut berupaya memberi perubahan kepada imej, wajah yang ceria dan harmoni, tenaga baru untuk menghadapi kehidupan, ketenangan dan paling penting kita berasa sihat.

Selain dari itu macamana kita nak hapuskan terus luka emosi lama ini? Boleh ke? Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Tapi kata seorang kawan….perkara emosi ini , berkaitan dengan hati dan perasaan. Ianya terlalu sukar untuk ditangani jika tiada kekuatan mental dan keazaman yang berterusan.

Ada sesetengah daripada kita cuba melupakannya dengan berbagai cara tapi ternyata gagal dan tidak dapat menyembuhkan kelukaan itu dengan berkesan. Namun begitu..berusahalah lagi secara berterusan. Kuatkan semangat dan sentiasa berusaha untuk melakukan sesuatu secara positif. Insyaallah, anda pasti dapat melakukannya.

No comments: