Wednesday, October 15, 2008

Doa Untuk Sahabat


Segala puja dan puji itu hanya milikmu, wahai Tuhan penentu segala takdir, selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga serta para sahabatnya yang umpama bintang-bintang begemerlapan.

Ya Allah,
Dalam perjalanan kehidupan ini, telah Engkau jadikan bagiku seorang teman sedangkan ia adalah di luar jangkaan hambaMu ini. Akan tetapi baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menetapkan segalanya.

Ya Allah,
Dalam kekalutan begini, dia pergi menyendiri dan hanyalah dititipkan satu pesanan melalui seorang teman buatku, di manakah salahku, wahai Tuhan dan tunjukkanlah dimana silapku. Jangan Engkau biarkan aku bangun tanpa diketahui apakah kesalahan yang telah aku lakukan terhadapnya.

Ya Allah,
Walau apa pun takdirMu ke atasku, maka di saat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu, wahai Tuhan aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya kerana dia adalah sahabatku.

Ya Allah,
Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang.

Ya Allah,
Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan, dan tiada satu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada satu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hayatnya dalam berhajat dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redha dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan Yang Maha Penyayang.

Ya Allah,
Lindungilah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai murkaMu.

Ya Allah,
Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu, tabahkanlah dirinya dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

Ya Allah,
Kurniakanlah kepadanya jua ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.

Ya Allah,
Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik permintaan, sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, beratkanlah pertimbangan kebaikannya. Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah, perkenankanlah permohonanku.

Ya Allah,
Sesungguhnya Engkau menegtahui apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku perlihatkan, maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya. Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya.

Ya Allah,
Aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingi hatinya dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan.

Ya Allah,
Apa sahaja yang Engkau jauhkan dirinya dari hal-hal yang dia cintai, jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintaiku.

Ya Allah,
Cukuplah dirimu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau hanya kepadaMu aku bertawakkal dan Engkaulah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung.

No comments: